10 Restoran Halal di Korea Selatan


posted on: 09 Jul 2015

10 Restoran Halal di Korea Selatan

Korea, destinasi percutian yang semakin menarik minat pelancong di negara ini. Namun sebelum berkunjung ke sana dan menikmati keindahan Pulau Jeju atau mengejar artis-artis K-Pop kegilaan anda, ada satu perkara penting perlu kita tahu, mana nak makan? Bagi anda yang kali pertama ke sana dan mencari makanan halal serta sesuai ‘tekak’ tempatan, LIBUR kongsikan 10 restoran boleh dikunjungi.

SEOUL

Dubai Restaurant

Jika anda ‘penggila’ masakan Arab, restoren ini bukan saja memaparkan suasana dekor Timur Tengah tetapi kesemua masakan adalah dihasilkan oleh chef-chef dari Dubai. Daging kambing dan kebab adalah makanan paling laku apabila singgah di sini. Restoran ini terletak di Seoul-si Yongsan-gu Itaewon 1-dong 127-2.

Usmania International Restaurant

Menyediakan beratus menu makanan Pakistan bermula dari roti gandum, kambing, daging dan ayam akan membawa anda seolah-olah berada di negara Pakistan. Dekorasi tradisional seperti permaidani sutera diikuti menu popular ayam tandori dikatakan makanan kegemaran rakyat Korea sendiri. Anda boleh kunjungi restoran masakan Pakistan ini di Seoul-si Yongsan-gu Itaewan-dong 119-7.

Arabian Restaurant

Memang tidak perlu dipertikaikan lagi bahawa makanan Arab memang halal. Restoran ini menyediakan sayuran segar dan rempah ratus tradisional menjadikan stik kambing dan kebab kambing menjadi tumpuan pelancong Islam. Restoran ini terletak di Seoul-si Yongsan-gu Itaewon-dong 123-21.

Taj Palace

Meski berada di Korea, anda masih boleh menikmati kari, roti naan, thali dan sebagainya di restoran ini. Kesemua ayam, daging dan rempah-ratus dibawa dari India. Restoran ini juga menyediakan minuman lassi (yogurt) malah semua chef mempunyai pengalaman bekerja di hotel mewah. Ia terletak di Seoul-si Yongsan-gu Itaewon-dong 132-2.

Wazwan

Salah satu lagi restoran makanan India ini terletak bersebelahan masjid di Itaewon ini menyediakan makanan mampu bayar. Ramai rakyat tempatan gemar menikmati kari di sini. Selain kari, terdapat samosa, ayam tandori, nasi India dan pemanis mulut. Restoren ini terletak di Seoul-si Yongsan-gu Hannam-dong 732-151.

Salam

Siapa kata anda tidak boleh menikmati masakan Turki di Korea? Terletak di Seoul-si Yongsan-gu Hannam-dong 732-21, restoran ini ada menyediakan Sup Merjimek, salad Coban salatasi, minuman Ayran, teh dan biskut.

Bindya

Terletak berhampiran di Stesen Gangnam, restoren ini menyediakan set menu lengkap masakan India dari chef India sendiri. Untuk ke sini, anda boleh ke Seoul-si Seocho-gu Seocho-dong 1308-2, F3.

INCHEON

Arabesque

Restoran ini ada menyediakan makanan kebab popular dari Turki dan kari dari India. Paduan dua menu ini menjadikan ia tempat terbaik buat pengunjung Arab di Korea. Restoran ini terletak di Incheon-si Jung-gu Inhyeon-dong 22-40, 2F.

Samarkand

Anda tidak perlu jauh ke Uzbekistan untuk menikmati kambing atau daging cucuk yang dipanggil shashlik, roti tradisional, samsa dan salad lobak merah kerana makanan ini terdapat di Korea yang berlokasi di Incheon-si Jung-gu Sinpo-dong 20-1.

BUSAN

Shabana

Terletak di luar kampus Universiti Busan, restoran ini dikatakan sering ramai pengunjung ekoran ia antara kawasan komersil yang sibuk di Busan. bagi anda yang teringin menikmati nasi biryani, ayam, kambing, dal, tandori dan sayuran campur, Shabana boleh membantu. Ia terletak di Busan-si Geumjeong-gu Jangjeon 3-dong 420-23.

Masih ragu-ragu untuk menempah tiket ke Korea? Bukan saja makanan Melayu yang boleh diperolehi tetapi masakan India, Pakistan, Turki dan Arab boleh didapati dengan mudah di sini. Yang penting, mari bercuti tanpa was-was!

Credited to: Majalah Libur

http://libur.karangkraf.com/10-restoran-halal-di-korea-selatan-1.194931